Sabtu, 25 Jun 2022 | 10:15pm

Remaja perempuan hilang selepas ke kedai

KUALA LUMPUR: Remaja perempuan berusia 17 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Bandar Dalam, Sentul, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata pihaknya menerima laporan polis daripada ibunya mengatakan anaknya tidak pulang ke rumah selepas keluar pada jam 7.20 malam.

"Remaja, Nur Hidayati Duwaijah Mazlan dikatakan keluar dari rumah mereka untuk ke kedai, namun sehingga kini masih gagal dihubungi.

"Ibu remaja berkenaan sudah cuba untuk menghubungi telefon pintar milik anaknya namun gagal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, menurut ibu remaja terbabit, anaknya kali terakhir dilihat memakai baju berwarna merah dan seluar berwarna hitam.

"Ketinggian adalah lebih kurang 145cm dan berkulit cerah. Selain itu, anaknya berbadan sederhana dan kedua-dua mata anaknya adalah berwarna coklat.

"Kehilangan kanak-kanak ini telah dihebahkan melalui Nur Alert. Polis meminta orang ramai yang ada maklumat mengenai kehilangan remaja ini tampil memberikan keterangan ataupun menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Noramalina Md Jamil di talian 017-3185868 atau Bilik Gerakan IPD Sentul, 03-40482222," katanya.

Berita Harian X