Sabtu, 25 Jun 2022 | 8:38pm

Suami isteri maut motosikal kuasa tinggi rempuh MPV

DUNGUN: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang mereka, merempuh sebuah kereta di Kilometer 69, Jalan Kuala Terengganu -Kuantan, di Persimpangan Tanjung Jara, dekat sini, petang tadi.

Dalam kemalangan jam 4.18 petang itu, Mohd Abdika Razali, 36, dan isterinya, Rabiatuladawiah Saufi, 36, yang menunggang motosikal jenis Aprillia RSV4, maut di tempat kejadian.

Ketika kejadian, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Pengkalan Binjai Kemaman, selepas menghadiri perhimpunan motosikal berkuasa tinggi di Kuala Terengganu.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Innova, yang dipandu seorang pengurus projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) dipercayai keluar secara tiba-tiba di simpang terbabit.

Dalam masa yang sama, mangsa dari arah Kuala Terengganu ke Dungun dikatakan gagal membrek sebelum merempuh bahagian pintu kanan kenderaan terbabit sebelum kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan yang dipanggil ke tempat kejadian.

"Kedua-dua mangsa disahkan maut akibat kecederaan pada bahagian dalaman badan. Mayat pasangan suami isteri itu dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

"Pemandu warga China itu yang dalam perjalanan ke tapak projek di Merchang Marang tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Katanya, pengurus tapak projek itu membuat laporan di Balai Polis Dungun sementara kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pasangan suami isteri maut di tempat kejadian selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang mereka merempuh sebuah kenderaan
Pasangan suami isteri maut di tempat kejadian selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang mereka merempuh sebuah kenderaan
Berita Harian X