Khamis, 23 Jun 2022 | 5:42pm
Bekas Ketua Polis Negara yang juga Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan (tengah) pada sidang media mengenai pendedahan eksklusif aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di pusat hiburan di Malaysia. Turut serta, Timbalan Presiden MCCC, Datuk Nazri Ibrahim dan Ketua Biro Undang-Undang MCCC, Datuk Hishamuddin Hashim (kanan). NSTP/ROHANIS SHUKRI
Bekas Ketua Polis Negara yang juga Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan (tengah) pada sidang media mengenai pendedahan eksklusif aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di pusat hiburan di Malaysia. Turut serta, Timbalan Presiden MCCC, Datuk Nazri Ibrahim dan Ketua Biro Undang-Undang MCCC, Datuk Hishamuddin Hashim (kanan). NSTP/ROHANIS SHUKRI

15 pusat hiburan di KL ada aktiviti dadah - Musa Hassan

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 15 pusat hiburan di sekitar ibu kota dikesan menjalankan aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah yang didalangi pemilik dan sindiket dadah.

Perkara itu didedahkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, merangkap Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), yang mengenal pasti lokasi berkenaan melalui tinjauan di lapangan dan maklumat orang ramai.

Beliau berkata, apa yang menyedihkan, tiada sebarang tindakan tegas daripada pihak berkuasa terhadap pusat hiburan seperti ini yang didapati semakin bermaharajalela.

"Berdasarkan maklumat dan risikan kita, pusat-pusat hiburan ini beroperasi secara curi-curi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan selepas endemik, mereka meneruskan aktiviti hiburan mereka sehingga lewat pagi.

"Premis ini berkonsepkan hiburan muzik techno atau rancak yang sesuai untuk mereka yang berseronok dengan mengambil dadah ketamin, kokain, ecstacy, syabu dan jus buah-buahan bercampur serbuk dadah," katanya pada sidang media khas di Sungai Besi, hari ini.

Beliau berkata, objektif utama MCCC adalah untuk menyerahkan senarai semua 15 pusat hiburan terbabit yang kononnya dilindungi pihak berkuasa kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dalam masa terdekat.

"Selain senarai pusat hiburan ini, kita akan turut menyerahkan nama pemilik dan nama orang perantara (PR) yang mewakili pusat hiburan berkenaan kepada Datuk Ayob serta nama-nama segelintir pihak berkuasa yang melindungi mereka selepas menerima habuan," katanya.

Ditanya mengapa senarai berkenaan tidak diserahkan kepada Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Musa menyatakan pihaknya lebih yakin tindakan akan segera dilakukan apabila senarai itu dihantar terus kepada Ayob Khan.

Selain aktiviti dadah, Musa mendedahkan kegiatan pelacuran membabitkan wanita warga Vietnam, Thailand dan Uzbekistan di pusat hiburan berkenaan yang turut dilindungi pemilik premis yang disyaki turut bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah.

Katanya, langkah paling berkesan untuk membanteras kegiatan ini adalah dengan menempatkan pegawai dan anggota polis serta kereta peronda di semua 15 pusat hiburan terbabit bagi memastikan mereka tidak beroperasi secara salah.

"Saya tak nafikan ada antara pusat hiburan ini sudah diserbu namun mereka akan kembali beroperasi pada keesokannya dan kembali meneruskan aktiviti penyalahgunaan dadah.

"Malah, peralatan dan sistem audio yang dirampas akan dikembalikan dalam sekelip mata," katanya.

Berita Harian X