Khamis, 23 Jun 2022 | 5:12pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Sindiket curi kabel TM tumpas

KUALA PILAH: Menyamar sebagai kontraktor dan menggunakan permit palsu bagi mengabui mata pihak berkuasa.

Itu yang dilakukan sindiket mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) yang aktif di daerah ini, namun kegiatan mereka terhalang selepas polis menahan enam individu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Gani, berkata mereka yang ditahan membabitkan empat lelaki dan dua wanita.

Katanya, sindiket berkenaan dikesan aktif sejak awal tahun ini dengan modus operandi mereka menggunakan identiti sebagai kontraktor TM dengan memakai jaket dan topi keselamatan serta menggunakan permit palsu.

"Ketika menjalankan kegiatan mencuri kabel, kumpulan ini memilih lokasi terpencil dan kurang tumpuan orang ramai sebagai lokasi untuk mencuri kabel.

"Selain itu, kabel yang kendur dan mudah dicapai menjadi tumpuan utama bagi kumpulan ini kerana ia lebih menjimatkan masa.

"Kabel yang dicuri kemudian akan dijual di premis besi buruk dan individu dengan kadar antara RM25 hingga RM29 sekilogram," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis juga berjaya memperoleh semula sejumlah besar kabel berkenaan yang dicuri melalui beberapa serbuan di sekitar daerah ini, Jempol, Port Dickson dan Seremban.

Amran berkata, pihaknya merampas dua kereta, dua bilah pemotong kabel, dua helai jaket keselamatan, sebuah komputer riba, satu mesin pencetak, tiga telefon bimbit dan saki-baki kabel dengan berat melebihi satu tan.

Katanya, nilai keseluruhan barangan dirampas ialah RM35,000.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda kedua-duanya sekali.

Berita Harian X