Rabu, 22 Jun 2022 | 3:43pm
Siti Zulaikha dikawal anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini. - NSTP/Izad Thaqif Hassan
Siti Zulaikha dikawal anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini. - NSTP/Izad Thaqif Hassan

Wanita tular gaduh, tikam guna kunci kena denda

SUNGAI PETANI: Wanita dalam rakaman video tular mencederakan seorang gadis dengan kunci kereta di Pantai Merdeka pada Ahad lalu, hari ini dikenakan hukuman denda RM900 oleh Mahkamah Majistret, di sini.

Siti Zulaikha Zolkifli, 23, yang juga penjaja alat mainan dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan ketika dihadapkan di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda ditetapkan. Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Siti Zulaikha yang tidak diwakili peguam mengaku dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Nurul Najihah Azizan, 19, pada jam 6.22 petang di Pantai Merdeka, 19 Jun lalu. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeya.

Dalam kejadian itu, tertuduh menyerang Nurul Najihah yang ketika itu dalam perjalanan menuju gerai menjual mainan milik kakaknya, menyebabkan mangsa cedera pada kening kanan sehingga terpaksa menerima enam jahitan.

Rakaman video yang tular memaparkan berlaku pergelutan antara mereka sebelum berjaya dileraikan seorang lelaki. Tertuduh ditahan pada hari sama selepas mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

Berita Harian X