Rabu, 22 Jun 2022 | 2:30pm

Pembantu kedai dipenjara, denda RM5,000 hina Raja Perlis

KANGAR: Seorang pembantu kedai runcit dipenjara setahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menghina Raja Perlis di laman sosial, Mac lalu.

Hakim Musyiri Peet menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Basri Shah Rohani@Mahadi, 31, dari Bukit Mas, Tanah Merah, Kelantan selepas tertuduh membuatkan pengakuan berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan tambahan hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengeluarkan kenyataan melalui Facebook Basri Shah dengan menyebut kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Perbuatan itu didakwa disedari di Hotel Seri Malaysia Kangar, sekitar jam 1.45 tengah hari pada 22 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama yang

memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Iman Nur Azmi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Terdahulu, Nur Azmi dalam rayuannya memohon dikenakan denda paling minima memandangkan ia adalah kesalahan pertama tertuduh, selain terpaksa menanggung ibu bapa yang mempunyai penyakit kencing manis dan sakit jantung serta isteri yang hamil enam bulan.

Bagaimanapun, Mohd Nordin memohon mahkamah memberikan satu hukuman berat kepada tertuduh sebagai pengajaran memandangkan kes itu membabitkan kepentingan awam yang menyentuh institusi agama negeri yang berada di bawah kuasa Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis dan Mufti Perlis.

Muhamad Basri (tiga dari kanan) dibawa keluar dari lokap Kompleks Mahkamah Kangar oleh anggota polis. - Foto NSTP/Aizat Sharif
Muhamad Basri (tiga dari kanan) dibawa keluar dari lokap Kompleks Mahkamah Kangar oleh anggota polis. - Foto NSTP/Aizat Sharif
Berita Harian X