Isnin, 20 Jun 2022 | 6:12pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Pesara rugi RM650,000 angkara Macau Scam

ISKANDAR PUTERI: Seorang pesara swasta terpaksa berputih mata apabila kerugian lebih RM650,000 wang simpanannya akibat didakwa ditipu sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Asisten Komisioner Amran Md Jusin, berkata kejadian berlaku apabila mangsa lelaki berusia 68 tahun itu mendakwa dihubungi sindiket penipuan itu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

"Suspek menakutkan mangsa dengan memberitahu bahawa mangsa terbabit dengan pengambilan ubat terlarang dan penggubahan wang haram.

"Suspek meyakinkan mangsa bahawa akaun bank milik mangsa akan diaudit dan disiasat," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Amran berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa memindahkan semua wang dari akaun milik mangsa ke dalam satu akaun bank lain yang diberikan sendiri oleh suspek kononnya bagi tujuan siasatan.

Katanya, suspek juga memberitahu ada notis perintah mahkamah tinggi yang mengarahkan mangsa untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis.

"Tanpa usul periksa, mangsa telah memindahkan sebanyak RM652,500 daripada akaun bank miliknya kepada nombor akaun bank tempatan yang diberikan suspek," katanya.

Menurut Amran, pemindahan wang dilakukan mangsa menerusi 22 transaksi bermula 11 Mei lalu hingga 5 Jun lalu.

Katanya, mangsa menyedari dirinya ditipu dan kemudian memaklumkan kepada anaknya yang seterusnya membuat laporan polis di Balai Polis Nusa Bestari semalam.

Hasil siasatan awal, Amran berkata, ada dua kes direkodkan antara tempoh 6 Mei lalu hingga semalam dalam lain-lain kes jenayah komersil yang dilaporkan.

"Sekiranya mangsa membuat semakan terlebih dahulu melalui perkhidmatan yang disediakan JSJK sebelum membuat sebarang pembayaran, ada kemungkinan risiko mereka menjadi mangsa penipuan dapat dikurangkan," katanya.

Pada masa sama, Amran menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai panggilan melalui telefon.

Katanya, orang ramai perlu sentiasa menggunakan perkhidmatan atas talian yang disediakan JSJK iaitu Semak Mule, CCID Scam Response Centre, CCID Infoline dan juga Facebook JSJK bagi mendapatkan maklumat berkenaan jenayah komersial.

Berita Harian X