Isnin, 20 Jun 2022 | 5:54pm
Orang ramai tidak memeriksa dengan polis selepas menerima panggilan meragukan. - Foto hiasan NSTP
Orang ramai tidak memeriksa dengan polis selepas menerima panggilan meragukan. - Foto hiasan NSTP

Mangsa pindah RM650,000 ke akaun scammer

ISKANDAR PUTERI: Seorang bekas pekerja swasta kerugian lebih RM650,000 wang hasil simpanan, akibat didakwa ditipu sindiket penipuan Macau.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Asisten Komisioner Amran Md Jusin, berkata kejadian berlaku apabila mangsa lelaki berusia 68 tahun itu mendakwa dia dihubungi sindiket penipuan itu yang memperkenal diri sebagai anggota polis.

"Suspek menakutkan mangsa dengan memberitahu mangsa terbabit dengan pengambilan ubat terlarang dan pengubahan wang haram.

"Suspek meyakinkan mangsa, akaun bank milik mangsa akan diaudit dan disiasat," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Amran berkata, suspek mengarahkan mangsa memindahkan semua wang dari akaun milik mangsa ke dalam satu akaun bank lain yang diberikan oleh suspek, kononnya bagi tujuan siasatan.

Amran berkata, suspek juga memberitahu terdapat notis perintah mahkamah tinggi yang mengarahkan mangsa untuk memberikan kerjasama kepada polis.

"Tanpa usul periksa, mangsa memindahkan sebanyak RM652,500 dari akaun bank miliknya kepada nombor akaun bank tempatan yang diberikan suspek," katanya.

Menurut Amran, pemindahan wang dilakukan mangsa menerusi 22 transaksi bermula 11 Mei lalu hingga 5 Jun lalu.

Katanya, mangsa menyedari dirinya ditipu dan kemudian memaklumkan kepada anaknya yang seterusnya membuat laporan polis di Balai Polis Nusa Bestari, semalam.

Berita Harian X