Isnin, 20 Jun 2022 | 3:17pm
Antara individu yang dituduh terbabit dalam kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen, Georgetown di sini, hari ini. - NSTP/Mikail Ong
Antara individu yang dituduh terbabit dalam kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen, Georgetown di sini, hari ini. - NSTP/Mikail Ong

4 lelaki dipercayai terbabit jenayah terancang diburu

GEORGETOWN: Polis memburu empat lagi ahli kumpulan jenayah terancang membabitkan penyeludupan dadah yang berjaya ditumpaskan sebelum ini.

Dalam kejayaan lalu, polis menahan seramai 14 individu termasuk dua wanita yang disyaki terbabit dalam aktiviti kumpulan berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya percaya pemburuan empat suspek yang terdiri daripada warga tempatan dan dua warga Indonesia itu akan melumpuhkan sepenuhnya kegiatan kumpulan berkenaan.

"Suspek yang diburu ialah K Harivin Raj, 25; yang beralamat di Mutiara Court Lorong Delima 20, Island Glade di sini dan B Jagandran, 47, pula tinggal di Lorong 18, Taman Sejahtera Alam, Bukit Mertajam.

Seramai 14 individu termasuk dua wanita dituduh terbabit dalam kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen, Georgetown. - NSTP/Mikail Ong
Seramai 14 individu termasuk dua wanita dituduh terbabit dalam kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen, Georgetown. - NSTP/Mikail Ong

"Sementara lelaki warga asing yang diburu pula dikenali sebagai Juanda dan Afrizal," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, orang ramai yang ada maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu, seramai 14 individu termasuk dua wanita dan seorang warga Bangladesh yang menganggotai kumpulan jenayah terancang 'Geng Chandra' didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut subseksyen sama.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Chandra' antara Januari 2016 hingga 12 Mac 2021 di dalam daerah Timur Laut di sini.

Berita Harian X