Isnin, 20 Jun 2022 | 2:51pm

13 ahli sindiket pinjaman tidak wujud ditahan

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket ceti haram atau along yang menawarkan pinjaman tidak wujud serta turut melakukan khianat dan ugutan jenayah selepas menahan 13 individu dalam serbuan di sebuah kondomonium mewah, di Perda dekat sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata tangkapan itu dibuat oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang pada jam 12.45 tengah hari ekoran laporan berkaitan kes khianat dan ugutan jenayah membabitkan sindiket tersebut.

Beliau berkata, semua suspek warga tempatan berusia 19 hingga 30 tahun ditahan kerana disyaki turut terbabit dengan aktiviti khianat seperti simbah cat dan ugutan jenayah.

"Semua suspek terdiri daripada sembilan lelaki dan empat wanita berasal dari beberapa negeri iaitu Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Sabah.

"Seramai tiga daripada suspek didapati mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, pada serbuan itu polis turut merampas 27 unit telefon bimbit, tiga komputer riba, sebuah kereta Perodua Myvi dan 10 buku nota tercatat nombor telefon, nombor akaun mangsa serta skrip dipercayai bagi memperdaya mangsa.

Katanya, modus operandi sindiket berkenaan adalah mengiklankan pinjaman menerusi media sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket ceti haram atau along yang menawarkan pinjaman tidak wujud serta turut melakukan khianat dan ugutan jenayah selepas menahan 13 individu dalam serbuan di sebuah kondomonium mewah, di Perda, Rabu lalu. - NSTP/Mikail Ong
Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket ceti haram atau along yang menawarkan pinjaman tidak wujud serta turut melakukan khianat dan ugutan jenayah selepas menahan 13 individu dalam serbuan di sebuah kondomonium mewah, di Perda, Rabu lalu. - NSTP/Mikail Ong

Ahli sindiket kemudian akan berhubung dengan mangsa yang tertarik dengan iklan itu dan memperdaya dengan meminta sejumlah bayaran sebagai yuran pemprosesan.

"Siasatan mendapati semua suspek turut terbabit dengan sindiket pinjaman tidak wujud dengan mengutip yuran pemprosesan tanpa pinjaman.

"Mereka bergerak aktif sejak 2021 di Pulau Pinang dan kita percaya dengan tertangkap kesemua suspek, polis dapat merungkai sindiket penipuan ini," katanya lagi.

Semakan mendapati sebanyak 132 laporan polis diterima berkaitan aktiviti kumpulan berkenaan yang membabitkan semua negeri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mengikut statistik membabitkan sindiket seumpamanya pada 2021, sebanyak 404 kertas siasatan dibuka dan seramai 121 ditahan dengan nilai kerugian sebanyak RM4.6 juta manakala bagi tempoh Januari sehingga semalam, sebanyak 102 kertas siasatan dibuka membabitkan 49 tangkapan dengan nilai kerugian sebanyak RM1.5 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (dua dari kanan) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini. - NSTP/Mikail Ong
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (dua dari kanan) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini. - NSTP/Mikail Ong
Berita Harian X