Jumaat, 17 Jun 2022 | 9:16pm
Anggota polis memasang kawat duri di kawasan tebing Selat Tebrau susulan video viral yang memaparkan warga asing memasuki negara secara haram berhampiran Bangunan Sultan Iskandar (BSI). - Foto ihsan Facebook Onn Hafiz
Anggota polis memasang kawat duri di kawasan tebing Selat Tebrau susulan video viral yang memaparkan warga asing memasuki negara secara haram berhampiran Bangunan Sultan Iskandar (BSI). - Foto ihsan Facebook Onn Hafiz

Polis pasang kawat duri di Selat Tebrau

JOHOR BAHRU: Polis memasang kawat berduri sementara sebagai penghadang di kawasan tebing Selat Tebrau, di sini, susulan video viral yang memaparkan warga asing memasuki negara secara haram berhampiran Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

Beliau berkata, mengikut video yang tular semalam, didapati sempadan negara itu dibolosi sekumpulan individu tidak bertanggungjawab.

Berikutan itu, katanya beberapa tindakan diambil pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian berulang.

"Polis Johor mendirikan kanopi dan menempatkan kawalan anggota 24 jam di kawasan kejadian. Malah polis juga memasang kawat berduri di tepi pagar di tebing Selat Tebrau.

"Usaha mengesan individu yang masuk ke Malaysia mengikut laluan tidak sah juga sedang dijalankan," katanya.

Onn Hafiz berkata, pihaknya turut membincangkan isu sama bersama pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyelesaikan isu di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (KIK) yang tidak berkesudahan.

"Saya harap pihak kementerian akan lebih serius menangani isu yang memberi kesan kepada imej negara dan negeri Johor," katanya.

Semalam, tular video dirakam netizen yang berulang-alik dari Johor ke Singapura mengenai kemasukan haram warga asing melalui Selat Tebrau, sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang khuatir dengan tahap keselamatan sempadan negara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, hasil siasatan ke atas rakaman video yang tular itu serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian berhampiran BSI mendapati lima lelaki dan tiga wanita memasuki sempadan negara secara haram.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1969/63 dan individu terbabit diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk diambil keterangan.

"Orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Nizam Ramon di talian 011-116086119," katanya menerusi kenyataan media.

Berita Harian X