X
Jumaat, 17 Jun 2022 | 7:34pm
Ahmad Zahid ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
Ahmad Zahid ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah

'Bukan menyuarakan kerisauan prosiding kes jenayah' - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan sama sekali bahawa pertemuannya dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah untuk menyuarakan kerisauan mengenai prosiding kes jenayah yang dihadapinya.

Ahmad Zahid yang menjawab pernyataan pembelaan Dr Mahathir dalam kes saman fitnah yang difailkannya, menegaskan ia sebaliknya adalah untuk membincangkan hala tuju dan peluang kerjasama di antara UMNO dan BERSATU.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, melalui lima pertemuan di beberapa lokasi, Dr Mahathir menggesa beliau supaya membubarkan UMNO dan ahlinya menyertai BERSATU.

Beliau yang menjelaskan lanjut mengenai perkara berkenaan, berkata pertemuan diadakan susulan desakan akar umbi UMNO yang mahukan perubahan dalam hala tuju parti bagi membincangkan kemungkinan kerjasama UMNO dan BERSATU dalam jangka pendek atau panjang.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, mustahil pertemuan pada 7 Jun 2018 di Yayasan Kepimpinan Perdana adalah untuk menimbulkan kes prosiding jenayah terhadapnya kerana ketika itu beliau belum didakwa atau dipanggil bagi membantu siasatan.

Malah, katanya, adalah mustahil pertemuan itu berkaitan isu peribadi mengenai prosiding mahkamah dengan kehadiran ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang mana sudah tentu ia akan memberi kesan kepada nama baik dan integritinya selaku Presiden UMNO.

Ahmad Zahid yang bertindak selaku plaintif, berkata dua pertemuan berkenaan berlaku di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 7 Jun 2018 sempena Ramadan dan pada 13 September tahun sama yang turut dihadiri Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO termasuk Datuk Seri Mohamad Hassan.

"Berdasarkan perkembangan politik yang berlaku di antara Februari 2020 dan 12 Mac lalu, jelas bahawa pertemuan dengan defendan (Dr Mahathir) bukan berkaitan prosiding jenayah, sebaliknya untuk menyelesaikan kemelut politik ketika itu.

"Kenyataan defendan ketika soal jawab bersama wartawan jelas dibuat dengan niat menjatuhkan reputasi dan nama baik saya sebagai ahli politik yang memegang jawatan tertinggi dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Sehubungan itu, saya memohon mahkamah menolak pernyataan pembelaan defendan kerana ia adalah cacat, remeh, menyusahkan selain dibuat dengan niat jahat kerana ia tidak benar, tidak berasas, jahat dan bersifat menghina terhadap saya," katanya.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan 5 Julai ini bagi mendengar permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan perintah injunksi sementara bagi menghalang Dr Mahathir daripada terus mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya.

Ahmad Zahid menyaman Dr Mahathir pada 20 April lalu dengan mendakwa bekas Perdana Menteri itu mengeluarkan kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya, pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 23 Februari lalu.

Ahmad Zahid melalui pernyataan tuntutan, berkata kenyataan fitnah berkenaan antaranya membawa maksud beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan.

Berita Harian X