Jumaat, 17 Jun 2022 | 6:55pm

Perunding kewangan ditipu RM629,000

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua individu disyaki menipu seorang perunding kewangan membabitkan kerugian RM629,000 dalam urusan mendapatkan kemudahan fasiliti kredit bagi perniagaan di luar negara, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak, berkata dua suspek terdiri seorang lelaki dan wanita tempatan berusia 56 dan 57 tahun itu ditahan di Jalan Bukit Bintang, di sini.

Katanya, tangkapan dibuat susulan aduan diterima daripada seorang perunding kewangan bebas berusia 43 tahun pada 10 Jun lalu, selepas mengesyaki dirinya menjadi mangsa penipuan.

Mohd Mahidisham berkata, pengadu mula berurusan dengan kedua-dua suspek sekitar Disember 2021 bagi mendapatkan dokumen Surat Kredit Tunggu Sedia (SBLC) bernilai AS$250 juta (RM1.1 bilion) dari bank di luar negara bagi menjalankan perdagangan antarabangsa di Korea.

"Pengadu membuat bayaran tunai secara berperingkat pada 27 Februari dan 2 Mac lalu dengan jumlah keseluruhan RM629,000. Wang diserahkan kepada suspek lelaki sebagai bayaran pemprosesan.

"Pada 4 Mac lalu, pengadu menerima emel dari pihak ketiga yang mengemukakan dua dokumen berkaitan urus niaga terbabit, bagaimanapun mangsa berasa curiga dengan kesahihan dokumen berkenaan.

"Pengadu kemudian ke sebuah bank tempatan untuk membuat pengesahan dan dokumen itu disyaki dokumen palsu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Mahidisham berkata, siasatan mendapati suspek lelaki berperanan mencari mangsa, manakala suspek wanita akan meyakinkan mangsa bahawa dia mempunyai hubungan baik dengan bank di luar negara.

"Suspek turut menunjukkan dokumen SBLC miliknya untuk meyakinkan mangsa yang tidak mengetahui bahawa dokumen itu sebenarnya palsu.

"Kita percaya kedua-dua suspek dalang utama dalam kes ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

Dalam pada pada itu, Mohd Mahidisham mengingatkan orang ramai membuat semakan latar belakang individu atau syarikat yang baru dikenali sebelum membuat sebarang urusan membabitkan dokumen perbankan dari bank tempatan atau luar negara.

Selain itu, katanya orang ramai juga boleh semakan dengan menghubungi Pusat Hubungan Pelanggan Bank Negara Malaysia (BNMTELELINK) di talian 1300 88 5465.

Berita Harian X