Jumaat, 17 Jun 2022 | 6:47pm

4 tekong darat, 20 PATI warga Myanmar ditahan

KEPALA BATAS: Polis menumpaskan sindiket penyeludupan manusia membabitkan warga Myanmar susulan penahanan empat dalang utama termasuk seorang wanita dalam serbuan di sebuah rumah di sini, pada Isnin lalu.

Turut ditahan dalam Op Pintas dijalankan hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Kedah dan Bukit Aman itu adalah 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk empat wanita.

Ketua JSJ negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais, berkata siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai aktif di kawasan utara tanah air sejak awal tahun ini.

"Semua dalang disyaki berperanan sebagai tekong darat ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Kesalahan Penyeludupan Migran).

"Bagi 20 PATI yang ditahan, mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan tidak memiliki permit sah.

"Semua suspek kini ditahan reman di Lokap Balai Polis Kepala Batas dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara," katanya melalui kenyataan di Facebook (FB) PDRM Pulau Pinang, hari ini.

Berita Harian X