Khamis, 16 Jun 2022 | 9:20pm

Penjenayah solo dalang 7 kes samun ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang penjenayah solo yang disyaki mendalangi tujuh kes samun dengan dua kejadian samun, awal pagi tadi, membabitkan dua kedai serbaneka 24 jam di Jalan Sawi dan Taman Bukit Angkasa di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata kejadian pertama berlaku di Jalan Sawi pada jam 3.08 pagi dan suspek yang bersenjatakan parang melarikan sejumlah wang tunai.

"Kira-kira jam 3.30 pagi, suspek didapati cuba menyamun sebuah lagi kedai serbaneka 24 jam di Taman Bukit Angkasa, namun berjaya digagalkan oleh juruwang yang bertugas ketika kejadian.

"Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek yang memakai topi keledar berpenutup muka, bersarung tangan dan membawa beg badminton serta membawa parang masuk ke kedai itu sebelum mengarahkan juruwang menyerahkan rokok dan wang tunai.

"Bagaimanapun, pekerja kedai serbaneka terbabit bertindak pantas merampas parang dipegang suspek menyebabkan suspek panik dan terus keluar melarikan diri dengan sebuah motosikal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, ketika suspek melarikan diri, beberapa barangan peribadi miliknya terjatuh di luar kedai serbaneka terbabit.

"Menerusi maklumat yang diperoleh, kita berjaya mengesan lokasi suspek sebelum menahannya di sebuah kondominium di Pantai Dalam, hari ini. Kita turut merampas pakaian dan motosikal yang digunakan suspek.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek berusia lingkungan 20-an dan tidak bekerja itu terbabit dengan tujuh kes samun di sekitar daerah Brickfields serta Petaling Jaya, Selangor," katanya.

Katanya, suspek akan dibawa ke hadapan majistret Mahkamah Kuala Lumpur untuk proses permohonan tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, esok dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X