Khamis, 16 Jun 2022 | 8:56pm

Garis panduan komprehensif jatuhkan hukuman pesalah hidupan liar

KUCHING: Mahkamah Sarawak kini mempunyai panduan komprehensif berhubung hukuman bagi jenayah hidupan liar.

Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, berkata garis panduan itu disediakan bagi memastikan konsistensi dan keadilan dalam menjatuhkan hukuman.

Katanya, ia sekali gus akan membantu mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap mana-mana pesalah yang terbabit dalam jenayah hidupan liar.

"Sudah tentu tidak boleh ada dua ayat yang sama untuk dua kesalahan. Tidak ada kesalahan sama dilakukan, sentiasa ada sedikit perbezaan.

"Kita tidak mahu ada perbezaan yang melampau apabila mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap pesalah yang melakukan kesalahan hampir serupa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan `Sentencing Guidelines for Wildlife Crimes in Sarawak' di Kompleks Mahkamah Kuching, di sini, hari ini.

Abang Iskandar berkata, data daripada penggunaan garis panduan itu boleh dikaji untuk menilai kesannya terhadap jenayah hidupan liar di negeri ini.

"Kita meletakkan garis panduan untuk memperbaiki diri di mahkamah supaya kita lebih faham dan mengambil kira faktor yang betul ketika menjatuhkan hukuman," katanya.

Garis panduan itu digubal oleh Kumpulan Kerja Alam Sekitar Mahkamah Sarawak (SWGE) dengan kerjasama WWF-Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim berkata, garis panduan itu menunjukkan kemajuan ketara membabitkan usaha negeri untuk menangani cabaran dalam melaksanakan hukuman yang konsisten dan sesuai terhadap pesalah jenayah hidupan liar.

Katanya, ia susulan perdagangan hidupan liar haram adalah besar dan bernilai berpuluh bilion ringgit.

"Perdagangan hidupan liar haram mencatatkan tempat keempat selepas kesalahan dadah, senjata dan pemerdagangan manusia di peringkat global.

"Oleh itu, menjadi satu penghormatan bagi WWF-Malaysia untuk bekerjasama dengan Mahkamah Tinggi Sarawak untuk melancarkan dokumen ini," katanya pada majlis pelancaran garis panduan itu, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pengarah Pemuliharaan WWF, Dr Henry Chan.

Sophia berkata, dengan penggunaan garis panduan mahkamah, WWF-Malaysia berharap peningkatan kesedaran berhubung jenayah hidupan liar dan isu alam sekitar lain di negeri ini akan memberi laluan kepada pendakwaan yang lebih berkesan.

Berita Harian X