X
Rabu, 15 Jun 2022 | 9:24pm

Bekas isteri SM Faisal cabar prosiding komital di Mahkamah Syariah

KUALA LUMPUR: Bekas isteri ahli perniagaan terkenal, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah Kuala Lumpur yang menjatuhi hukuman penjara tujuh hari terhadapnya kerana menghina mahkamah.

Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman itu terhadap Emilia Hanafi, 43, kerana mengubah tarikh lawatan tiga anaknya untuk bersama bapa mereka, namun beliau dibebaskan dengan jaminan RM5,000 sementara menunggu rayuan.

Emilia memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Nizam Bashir & Associates di Mahkamah Tinggi pada 8 Jun lalu dan menamakan SM Faisal, 43, serta bekas ibu mentuanya, Puan Sri Zaleha Ismail, 70, sebagai responden.

Turut dinamakan ialah Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia.

Berdasarkan permohonan itu, Emilia tidak tinggal atau bermastautin di Wilayah Persekutuan dan ketika prosiding hadhanah difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 23 Julai 2018, beliau tinggal atau bermastautin di Kajang, Selangor.

Beliau berkata, Seksyen 4 Akta Undang-Undang Keluarga (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 adalah terpakai untuk semua orang Islam yang tinggal dalam Wilayah Persekutuan dan yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan tetapi tinggal di luar Wilayah Persekutuan.

"Oleh yang demikian, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara itu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 4 Akta Undang-Undang Keluarga.

"Sebagai mahkamah yang mempunyai bidang kuasa tempatan yang terhad, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan jelas tidak mempunyai bidang kuasa dalam prosiding komital tersebut," katanya.

Emilia memohon deklarasi bahawa Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur tidak memiliki bidang kuasa untuk mendengar serta menghukum mana-mana individu yang menghina mahkamah sebaliknya bidang kuasa itu adalah hak eksklusif mahkamah sivil di peringkat Mahkamah Persekutuan, Rayuan dan Tinggi, menurut Artikel 126 Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Nizam Bashir, yang mewakili Emilia, memberitahu pemberita pada prosiding pengurusan kes hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan 20 Julai untuk mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman itu.

Peguam Ummi Kartini Abdul Latiff mewakili SM Faisal dan Zaleha manakala Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali mewakili Jabatan Peguam Negara.

Hukuman terhadap Emilia menyebabkan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah mengeluarkan kenyataan bahawa wanita Islam masih didiskriminasi di bawah sistem undang-undang syariah Malaysia yang disiarkan oleh sebuah portal.

Pada 25 April lalu, Maria Chin dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah selepas didapati bersalah menghina mahkamah dengan mengkritik keputusan mahkamah itu yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas Emilia.– BERNAMA

Berita Harian X