Isnin, 13 Jun 2022 | 1:48pm

251 bot nelayan Vietnam dilupus sejak 2017

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melupuskan 251 bot nelayan Vietnam yang sudah dilucut hak bernilai RM375.06 juta sejak 2007.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, daripada jumlah itu hanya 18 bot bernilai RM26.06 juta dilupuskan dengan cara musnah pecah, manakala selebihnya sama ada ditenggelamkan menjadi tukun tiruan, bakar dan sebagainya.

Katanya, tindakan pelupusan diambil ke atas bot nelayan asing warga Vietnam yang menceroboh perairan negara di bawah kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Kita sentiasa tegas dalam melaksanakan undang-undang di perairan negeri Kelantan, khususnya demi memastikan sumber perikanan negara dapat dilindungi dan kedaulatan negara terpelihara.

"Seperti hari ini, kita musnah pecah dua bot bernilai RM2.06 juta yang ditangkap dalam operasi kami bersama kelengkapan navigasi serta peralatan menangkap ikan," katanya ketika ditemui di Pusat Tahanan Vesel Maritim Negeri Kelantan, di sini hari ini.

Pada majlis itu, dua bot itu dimusnah pecah menggunakan jengkaut kerana reput dan tidak sesuai dijadikan tukun tiruan.

Khairun berkata, bagi dua bot terbabit, seramai 12 kru ditahan membabitkan 100 kilogram ikan, 30 kilogram gamat dan 7,350 liter diesel dengan semua kru termasuk tekong dihukum mengikut Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985.

"Semua nelayan asing terbabit dikenakan denda berjumlah RM3.1 juta, namun masing-masing memilih untuk dipenjarakan antara lima hingga tujuh bulan," katanya.

Khairun berkata, bagi tahun ini sahaja, pihaknya sudah melaksanakan kaedah penenggelaman dan musnah pecah bot nelayan asing sebanyak lima buah dengan anggaran nilai RM7.56 juta.

Khairun Dalilah (depan) melihat bot nelayan asing warga Vietnam yang dilucut hak, dilupuskan melalui kaedah musnah pecah di Pusat Tahanan Vesel di Tok Bali, Pasir Puteh. NSTP/ NOR AMALINA ALIAS
Khairun Dalilah (depan) melihat bot nelayan asing warga Vietnam yang dilucut hak, dilupuskan melalui kaedah musnah pecah di Pusat Tahanan Vesel di Tok Bali, Pasir Puteh. NSTP/ NOR AMALINA ALIAS
Berita Harian X