Sabtu, 11 Jun 2022 | 8:24pm

Pengawas Hutan maut nahas kereta bertembung lori

DUNGUN: Seorang kakitangan Pejabat Hutan Daerah Terengganu Selatan maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 65, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Pejabat Veterinar Wilayah Timur, Cermin Kiri Jerangau Sungai, petang tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 4 petang, mangsa, Abdul Hannan Abdul Hadi, 22, yang parah pada kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS, Zul Husni Abdul Rahman, berkata sepasukan sembilan anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan jam 4.09 petang.

Sebaik tiba, katanya, anggota kami mendapati mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu disahkan sudah meninggal dunia.

"Kami mendapati kereta yang dipandu mangsa bertembung dengan sebuah lori di situ.

"Anggota kami mengambil masa 15 minit sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang parah pada kepala, sebelum mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, pemandu lori berusia 37 tahun yang terbabit kemalangan bagaimanapun hanya cedera ringan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun, untuk siasatan lanjut.

Ktanya, ketika kejadian, mangsa yang bertugas sebagai Pengawas Hutan di Pejabat Hutan Dungun dalam perjalanan pulang ke rumahnya, tidak jauh dari tempat kejadian.

"Ketika kejadian keadaan hujan lebat dan siasatan awal polis percaya kereta yang dipandu mangsa dikatakan memasuki laluan kanan jalan sebelum bertembung dengan lori terbabit.

"Pemandu lori yang cedera dibawa ke Klinik Kesihatan Bukit Besi untuk rawatan dan kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Anggota Bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam nahas di Kilometer 65, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Pejabat Veterinar Wilayah Timur, Jerangau, petang tadi. - NSTP/Rosli Ilham
Anggota Bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam nahas di Kilometer 65, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Pejabat Veterinar Wilayah Timur, Jerangau, petang tadi. - NSTP/Rosli Ilham
Berita Harian X