Isnin, 6 Jun 2022 | 2:51pm

Geng Fahmy pecah rumah tumpas

KUALA BERANG: Tiga individu termasuk pasangan suami isteri yang didakwa terbabit dalam jenayah pecah rumah sejak Januari lalu, ditahan dalam dua tangkapan berasingan pada Sabtu dan Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Md Daud, berkata tangkapan pertama membabitkan pasangan suami isteri berusia 28 dan 38 tahun.

Kedua-dua mereka yang memiliki premis cuci kenderaan dan butik pakaian ditahan ketika melakukan urusan jual beli emas di sebuah hotel di Pudu, Kuala Lumpur, manakala tangkapan kedua membabitkan suspek utama berusia 28 tahun iaitu adik kepada wanita berusia 38 tahun dikenali sebagai Fahmy di rumahnya di Kampung Temala Hilir, Pengkalan Berangan, Marang.

"Tangkapan terhadap semua suspek yang dikenali sebagai Geng Fahmy dilakukan susulan laporan satu kes pecah rumah membabitkan kerugian lebih RM50,000 di Kampung Pauh, di sini, pada Khamis lalu," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Susulan tangkapan itu, katanya, polis sudah menemukan semula pelbagai barangan kemas milik mangsa bernilai RM47,500 dan merampas telefon bimbit dan peralatan seperti jek kenderaan yang dipercayai digunakan untuk membengkok besi palang nako ketika melakukan pecah rumah.

Dalam kejadian Khamis lalu, katanya, mangsa yang juga seorang guru berusia 34 tahun menyedari kediamannya dipecah masuk apabila mendapati pintu dapur terbuka ketika bangun pada jam 5 pagi.

Mangsa yang mengesyaki kediamannya diceroboh kemudian melakukan pemeriksaan sebelum mendapati dompet milik suami mengandungi wang tunai RM200 dan beg tangan miliknya berisi wang tunai RM800 dan barangan kemas iaitu 11 bentuk cincin, sembilan gelang dan tiga utas rantai dalam bilik tidur hilang.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa kerugian sebanyak RM50,000 termasuk wang tunai sebanyak RM1,000," katanya.

Mohd Adli berkata, siasatan mendapati, kumpulan terbabit dikatakan aktif melakukan jenayah itu sejak Januari lalu dan sepanjang tempoh itu sebanyak tujuh kes pecah rumah dilakukan kumpulan terbabit yang membabitkan kerugian sebanyak RM100,000.

Beliau berkata, suspek utama juga dikatakan memiliki tiga rekod lampau berkaitan dadah dan pernah menjalani hukuman penjara sebelum dibebaskan pada Januari lalu.

"Susulan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan tujuh daripada 15 kes pecah rumah di daerah ini sejak Januari lalu, dan semua suspek direman selama empat hari bermula tarikh tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Kesiksaan," katanya.

Berita Harian X