Khamis, 2 Jun 2022 | 2:47pm

Tiga beranak antara ditahan disyaki edar dadah

JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga beranak selepas disyaki terbabit dengan sindiket pengedaran dadah sejak empat bulan lalu.

Suami isteri warga emas masing-masing berusia 73 dan 70 tahun ditahan bersama anak lelakinya berusia 36 tahun di sebuah rumah teres dua tingkat iaitu rumah mereka dekat Taman Century di sini, pada jam 3.30 petang kelmarin.

Turut ditahan, rakan kepada anak lelaki pasangan itu yang juga berusia 36 tahun selepas polis melakukan serbuan susulan di sebuah pangsapuri dekat Taman Mount Austin, jam 5.50 petang semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata ketika serbuan, polis menemui pelbagai jenis dadah disimpan dalam kediaman dan kenderaan suspek.

"Hasil daripada risikan dan siasatan yang dilakukan hampir empat bulan lalu, polis berjaya membongkar sindiket yang menjadikan rumah sebagai stor penyimpanan dan pemprosesan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

"Dadah ini dibungkus dalam bungkusan menyamai paket minuman untuk mengelirukan pihak berkuasa dan jenis minuman itu mungkin popular di luar negara.

"Mereka menyasarkan pusat hiburan untuk mengedarkan dadah ini yang mana sepaket boleh mencecah RM250," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, dalam dua serbuan itu, polis merampas 14.31 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 4.06 kg ketamin, 6,440 biji pil Eramin 5 dan 10,291 biji pil ekstasi yang semuanya bernilai lebih RM1.25 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menunjukkan dadah yang dirampas daripada sindiket pengedaran dadah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di Johor Bahru, hari ini. - NSTP/Izz Laily Hussein
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menunjukkan dadah yang dirampas daripada sindiket pengedaran dadah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di Johor Bahru, hari ini. - NSTP/Izz Laily Hussein

Katanya, turut disita, empat kereta, sebuah motosikal, wang tunai RM41,093, seutas rantai leher dan dua utas jam tangan semuanya bernilai RM206,193.

Beliau berkata, dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh hampir 200,000 penagih dadah jika ia terlepas ke pasaran.

Katanya, hasil saringan ujian air kencing dua daripada empat suspek positif methamphetamine dan semakan rekod mendapati seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaiatan dadah.

"Semua suspek kini direman tujuh hari sehingga 7 Jun ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menunjukkan kereta yang disita daripada sindiket pengedaran dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di Johor Bahru, hari ini. - NSTP/Izz Laily Hussein
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menunjukkan kereta yang disita daripada sindiket pengedaran dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di Johor Bahru, hari ini. - NSTP/Izz Laily Hussein
Berita Harian X