Khamis, 2 Jun 2022 | 2:11pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Syarikat sekam padi didenda RM5,000 sambung air secara haram

SEREMBAN: Sebuah syarikat penyelidikan sekam padi dikenakan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban di sini, semalam, atas kesalahan melakukan penyambungan semula bekalan air setelah saluran di premis itu dipotong oleh Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas syarikat terbabit yang diwakili Asmawi Ujang, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat SAINS, Norzita Ismail, berkata berdasarkan fakta kes kesalahan itu dikesan pada 8 Julai 2021 selepas serbuan dibuat oleh bahagian penguat kuasa agensi itu.

"Hasil serbuan di tapak, mendapati penghuni premis membuat satu penyambungan semula atau membenarkan penyambungan semula bekalan air tanpa kebenaran pemegang lesen pengagihan air di bawah Seksyen 89 (9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 65).

"Denda yang diperuntukkan di bawah seksyen berkenaan adalah sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

"Hakim mengenakan hukuman denda sebanyak RM5,000 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Suhaidariah Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, tertuduh telah membayar denda yang dikenakan pada hari perbicaraan.

Menurutnya, pihaknya ingin mengingatkan kepada pelanggan agar tidak terbabit dalam sebarang kegiatan curi air.

"Kita (SAINS) akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di Negeri Sembilan sama ada membabitkan pengguna komersial dan domestik," katanya.

Berita Harian X