Ahad, 29 Mei 2022 | 6:03pm

Terpedaya skim pelaburan saham dalam talian

TELUK INTAN: Padah mengejar keuntungan lumayan secara mudah, seorang penjawat awam kerugian RM21,550 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan saham dalam talian, di sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata lelaki berusia 37 tahun itu terpedaya dengan sindiket itu selepas melihat iklan pelaburan forex di laman Facebook pada 26 Mei lalu sebelum menghubungi seorang lelaki melalui telegram dan WhatsApps.

Beliau berkata, mangsa kemudian memilih pakej Gold yang menjanjikan keuntungan sebanyak 120 peratus dalam masa enam jam selepas menjadi ahli dan modal diberikan oleh mangsa sendiri.

"Pakej saham itu juga dikatakan patuh syariah menyebabkan mangsa tertarik dan yakin dengan apa dijanjikan sindiket.

"Mangsa kemudian bersetuju dengan tawaran sindiket dan membuat tiga transaksi wang dalam talian ke akaun diberikan suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, mangsa memindahkan wang sebanyak RM3,000 sebagai yuran keahlian dan modal pelaburan.

Katanya, selepas itu mangsa membuat pindahan kedua sebanyak RM5,800 sebagai pengaktifan bank untuk mengeluarkan wang daripada bank.

"Seterusnya sebanyak RM12,550 dipindahkan untuk tujuan yuran tukaran wang dolar Amerika Syarikat (AS) dengan Ringgit Malaysia," katanya.

Beliau berkata, lelaki itu menghubungi pihak syarikat pelaburan terbabit, namun tidak dijawab, malah menyekat panggilannya.

"Mangsa berasakan ada yang tidak kena dengan pelaburan berkenaan selepas imbuhan dividen yang dijanjikan tidak diterima.

"Dia yang sudah kehabisan wang dan berasa tertipu kemudian membuat laporan polis, semalam untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X