Sabtu, 28 Mei 2022 | 6:24pm
Satu daripada dua bot nelayan warga Vietnam yang ditahan dengan hasil tangkapan 600 kilogram ikan di perairan Tok Bali, Pasir Puteh. - Foto ihsan Maritim Malaysia
Satu daripada dua bot nelayan warga Vietnam yang ditahan dengan hasil tangkapan 600 kilogram ikan di perairan Tok Bali, Pasir Puteh. - Foto ihsan Maritim Malaysia

Cubaan nelayan asing kaut 600kg ikan gagal

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan nelayan warga Vietnam membawa keluar 600 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis termasuk ikan baja awal pagi semalam.

Nelayan yang menaiki dua bot ditahan pada kedudukan 36.4 dan 36.7 batu nautika daripada Muara Tok Bali.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin, berkata bot pertama ditahan pada 1.30 pagim manakala bot kedua ditahan setengah sejam kemudian.

Katanya, mereka ditahan bot peronda Maritim Malaysia daripada Pos Maritim Pengkalan Kubor yang sedang melaksanakan operasi bersepadu Op Naga Barat dan Op Damai Siri 32/2022.

"Rampasan membabitkan jumlah RM2.04 juta termasuk nilaian dua bot, ikan, peralatan menangkap ikan dan 3,000 liter diesel.

"Tangkapan pula membabitkan 12 kru termasuk dua tekong bot berusia antara 25 hingga 61 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, nelayan berkenaan gagal mempamerkan sebarang dokumen menangkap ikan di perairan Malaysia oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan melanggar Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

Katanya, kedua-dua tekong bot turut melanggar Seksyen 16(3) akta sama kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili mengenai negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.

Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum denda sehingga RM6 juta bagi tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 selain bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia jika sabit kesalahan.

Kru juga disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Jika sabit kesalahan, tekong dan kru boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan tidak lebih enam kali sebatan mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.

Berita Harian X