Sabtu, 28 Mei 2022 | 10:38am
Antara warga asing yang di tahan ketika Operasi Penguatkuasaan Imigresen di Pasar Besar Meru, Klang. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Antara warga asing yang di tahan ketika Operasi Penguatkuasaan Imigresen di Pasar Besar Meru, Klang. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Macam 'kilang pengeluar' bayi etnik Rohingya

KLANG: Keadaan di Pasar Besar Meru di sini dilihat seolah-olah seperti 'kilang pengeluar' bayi etnik Rohingya apabila kebanyakan wanita etnik berkenaan mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak.

Suasana hiruk-pikuk dengan tangisan bayi dan kanak-kanak jelas dilihat memenuhi kawasan warga asing yang dikumpul dalam pemeriksaan operasi di pasar berkenaan, malam tadi.

Dalam serbuan bermula kira-kira jam 8 malam, seramai 704 warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia dan India berusia antara satu tahun hingga 55 tahun diperiksa.

Tinjauan wartawan di lokasi terbabit mendapati kebanyakan wanita etnik Rohingya yang diperiksa dalam operasi itu mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak.

Malah, ada antara wanita yang diperiksa dalam operasi itu didapati baru melahirkan anak beberapa hari lalu. Kebanyakan wanita terbabit dilihat mengendong bayi berusia bawah dua tahun.

Seorang remaja perempuan etnik Rohingya berusia 15 tahun memaklumkan dia sudah berkahwin dan sedang hamil empat bulan.

"Saya berada di Malaysia sejak berusia sembilan tahun dan berkahwin awal tahun ini dengan suami yang juga (etnik) Rohingya berusia 27 tahun.

"Saya sedang hamil empat bulan. Saya tidak bekerja manakala suami pula bekerja di pasar (Pasar Besar Meru)," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini semalam.

Seorang lagi wanita etnik Rohingya berusia 20 tahun memaklumkan dia terus dikahwinkan dengan lelaki dari etnik sama sebaik tiba di Malaysia dua tahun lalu.

"Saya tiba di negara ini dua tahun lalu dan terus dikahwinkan dengan suami yang berusia 30-an.

"Hasil perkahwinan kami dikurniakan seorang anak lelaki yang berusia satu tahun. Saya tidak bekerja dan suami pula bekerja di pasar ini (Pasar Besar Meru)," katanya.

Sementara itu, perkara berkenaan juga menjadi perhatian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang turun padang dalam operasi terbabit semalam.

Katanya, beliau melihat tempat tinggal warga asing berkenaan amat menyedihkan sekali gus membuktikan mereka tidak ada jalan lain selain tinggal di tempat berkenaan angkara beberapa sindiket.

"Mereka sanggup tinggal dan bekerja di tempat sebegini hingga melahirkan anak. Saya perhatikan apabila anak itu dilahirkan, mereka secara automatik diberikan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

"Situasi itu pastinya akan membebankan kita dalam negara ini," katanya.

Berita Harian X