Jumaat, 27 Mei 2022 | 10:50pm
Seorang daripada tiga bersaudara lemas manakala dua lagi masih hilang ketika mandi di Sungai Pasir Kelang, Kuala Krai, petang tadi. - Foto JBPM
Seorang daripada tiga bersaudara lemas manakala dua lagi masih hilang ketika mandi di Sungai Pasir Kelang, Kuala Krai, petang tadi. - Foto JBPM

'Arwah patut pulang ke Thailand esok untuk mula bersekolah'

KUALA KRAI: "Sepatutnya kami pulang ke Thailand esok selepas sebulan bercuti di kampung.

"Namun saya tidak menyangka anak serta dua anak saudara lemas ketika mandi di sungai yang terletak tidak jauh dari rumah," kata ibu seorang daripada mangsa, Miss Minawa Salleh, 41.

Miss Minawa berkata, pada Isnin ini anaknya Ku Nabila Ku Zaid, 15, bersama dua sepupunya, Nik Adib Tuan Tengah, 12, dan Nik Alia Tuan Tengah, 15, sepatutnya kembali memulakan persekolahan seperti biasa di Thailand selepas sebulan menghabiskan cuti persekolahan di kampung di Kuala Krai.

Katanya, dalam kejadian petang tadi, dia tiada di rumah dan sebelum itu anaknya hanya memberitahu ingin keluar membeli makanan dan pergi berkelah, namun tidak menyangka bahawa mereka akan berkelah di sungai yang tidak jauh dari rumah.

"Bagaimanapun, pada jam 4.30 petang, seorang daripada anak saudara saya yang turut bersama-sama pergi berkelah memberitahu Ku Nabila dan dua sepupunya lemas.

"Saya kemudiannya bergegas ke sungai dan setibanya di sana saya hanya melihat jasad Nik Alia sedang terapung sebelum dibawa naik oleh penduduk kampung.

"Sehingga kini kedua-dua jasad anak saudara saya suda ditemui dan saya berharap supaya anak saya ditemui segera tak kira apa jua keadaan sekali pun," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu, kegembiraan tiga sepupu mandi di sungai bertukar tragedi apabila dua lemas, manakala seorang lagi masih hilang dalam kejadian di Sungai Pasir Kelang, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, ketiga-tiga mangsa warga Thailand iaitu Nik Adib,Nik Nabila dan Ku Nabila dikatakan pergi memancing di sungai berkenaan bersama dua lagi rakan mereka.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, pada jam 4.30 petang, tiga mangsa pergi mandi di sungai berdekatan dan secara tiba-tiba dibawa arus.

Susulan kejadian itu, mayat Nik Nabila ditemui jam 6.30 petang dan Nik Adib ditemui lemas jam 9 malam, manakala, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nik Nabila akan disambung esok.

Berita Harian X