Jumaat, 27 Mei 2022 | 2:19pm

Wanita didakwa perdaya individu RM900,000

IPOH: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas pertuduhan memperdaya seorang individu lain sebanyak RM900,000 dua tahun lalu.

Tertuduh, Ooi Yee Ling, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa Mahkamah di hadapan Majistret, Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curang telah menipu seorang individu, Wong Kam Poh dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dia akan memulangkan semula wang pembayaran kerja-kerja cerucuk (piling) bernilai RM1.5 juta.

Tertuduh yang juga peniaga pakaian dengan curangnya mendorong mangsa untuk memasukkan wang berjumlah sebanyak RM900,000 ke dalam akaun syarikat milik tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan Sultan Nazrin Shah, Gunung Rapat, Ipoh antara 10 hingga 27 Oktober 2020.

Oleh yang demikian tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan wang ikat jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri ke balai polis berhampiran setiap 15 haribulan selain pasport diserah kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 25 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh diwakili peguam, Kenzaly Goik.

Peniaga pakaian Ooi Yee Ling (kanan) didakwa atas pertuduhan menipu seorang individu berhubung pemulangan semula wang pembayaran kerja-kerja cerucuk bernilai RM1.5 juta di Mahkamah Majistret. - Foto NSTP/L Manimaran
Peniaga pakaian Ooi Yee Ling (kanan) didakwa atas pertuduhan menipu seorang individu berhubung pemulangan semula wang pembayaran kerja-kerja cerucuk bernilai RM1.5 juta di Mahkamah Majistret. - Foto NSTP/L Manimaran
Berita Harian X