Khamis, 26 Mei 2022 | 5:23pm
Kemalangan maut membabitkan pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Sikamat pagi tadi. - Foto PDRM
Kemalangan maut membabitkan pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Sikamat pagi tadi. - Foto PDRM

Langgar lampu isyarat, pelajar Tingkatan 5 maut rempuh lori

SEREMBAN: Seorang pelajar Tingkatan Lima maut selepas dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh sebuah lori ketika dalam perjalanan ke sekolah di persimpangan Jalan Tunku Kursiah, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian jam 8.45 pagi, mangsa mengalami cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Kemalangan membabitkan motosikal Honda RS150 yang ditunggang seorang remaja lelaki berumur 17 tahun yang juga pelajar sekolah menengah di Sikamat sedang bergerak terus dari arah Seremban menuju ke arah Sikamat.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa penunggang motosikal disyaki mengabaikan lampu isyarat berwarna merah.

"Mangsa bergerak terus lalu melanggar bahagian kanan sebuah lori jenis Isuzu dipandu seorang lelaki berumur 31 tahun yang datang dari arah simpang kiri mangsa yang sedang bergerak terus melintasi mangsa ketika itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Nanda berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Seorang pelajar tingkatan lima maut selepas dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh sebuah lori ketika dalam perjalanan ke sekolah di persimpangan Jalan Tunku Kursiah, di sini, pagi tadi. - Foto PDRM

Berita Harian X