Sabtu, 21 Mei 2022 | 10:48pm
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Pegawai perubatan ditemukan maut di bilik hotel

PORT DICKSON: Seorang pegawai perubatan disahkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam sebuah bilik hotel di Pasir Panjang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 2 petang.

Berdasarkan laporan, beliau berkata, seorang pekerja hotel menemukan wanita berusia 37 tahun itu terbaring tidak sedarkan diri di atas katil dalam bilik hotel terbabit.

"Siasatan awal tidak menemukan sebarang unsur jenayah di tempat kejadian dan semakan dengan pihak hotel mendapati mangsa mendaftar masuk seorang diri pada 19 Mei lalu.

"Wanita dipercayai masih bujang itu adalah seorang pegawai perubatan di sebuah hospital di Petaling Jaya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan Klinik Kesihatan Pasir Panjang jam 2.56 petang.

"Setakat ini, kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR) dengan bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Port Dickson, hari ini," katanya menjelaskan punca kematian belum dikenal pasti.

Berita Harian X