Selasa, 17 Mei 2022 | 2:51pm
Kamaruszaman (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah APMM Perak antara Shahrizan Raman (kiri) dan Mohd Hambali (kanan) di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Perak di Lumut. - NSTP/ NOOR HIDAYAH TANZIZI
Kamaruszaman (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah APMM Perak antara Shahrizan Raman (kiri) dan Mohd Hambali (kanan) di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Perak di Lumut. - NSTP/ NOOR HIDAYAH TANZIZI

PATI guna taktik enjin bot rosak dan harap diselamatkan

LUMUT: Pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan taktik kononnya kapal dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin dan hanyut ke perairan negara sebagai helah untuk masuk ke negara ini.

Modus operandi itu antara dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) susulan beberapa kes penyusupan PATI yang dikesan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya (Maritim) Datuk Kamaruszaman Abu Hassan berkata, PATI menggunakan taktik kononnya bot mereka mengalami kerosakan enjin ketika belayar sebelum hanyut ke perairan negara.

"(Dengan taktik ini) mereka mengharap diselamatkan pihak berkuasa, malah ada juga dipecahkan kepada bot kecil.

"Ia bukan mudah, tetapi kita sentiasa memantau dan akan terus meningkatkan kawalan di perairan negara. Kita akan menguatkuasakan undang-undang," katanya selepas hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Perak di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Perak, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, bekas Ketua Cawangan Risik Ibu Pejabat Maritim Malaysia Putrajaya, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya'akup menerima tugas sebagai Pengarah Maritim Malaysia Perak baharu menggantikan Kepten Maritim Shahrizan Raman yang bertukar sebagai Pengarah Zon Maritim Tawau, Sabah berkuat kuasa hari ini.

Dalam pada itu, Kamaruszaman berkata susulan peningkatan kes penyusupan PATI ketika peralihan fasa ke endemik ini, pihaknya memperketatkan rondaan berkala di sepanjang perairan negara terutama lokasi panas dikenal pasti menjadi tumpuan pendaratan PATI.

Beliau berkata, aset di pangkalan seluruh negara digerakkan bagi memastikan tiada pencerobohan perairan negara berlaku.

"Ia susulan penahanan bot asing yang membawa PATI dikesan memasuki perairan negara di Kuala Gula di Perak pada 30 April lalu, selain Langkawi di Kedah pada 1 Mei lalu.

"Kita juga melakukan pengawasan melalui udara bagi mengesan sebarang pencerobohan dan komuniti maritim seperti kapal dagang yang berada di perairan Selat Melaka juga, boleh bantu melaporkan keberadaan mereka (bot yang disyaki membawa PATI)," katanya.

Kamaruszaman berkata, penahanan bot asing membawa ratusan PATI Rohingya, Myanmar dan Bangladesh akhir bulan lalu yang pertama direkodkan di Perak, namun Maritim Malaysia mengambil serius supaya ia tidak berulang pada masa akan datang.

Susulan itu, katanya dua bot Zon Maritim Kuala Kurau dan sebuah kapal dari Lumut digerakkan untuk melakukan penugasan operasi secara berkala setiap hari di sepanjang perairan dan persisiran pantai utara negeri itu.

Berita Harian X