Isnin, 16 Mei 2022 | 6:57pm
Anggota bomba mengusung anggota tubuh badan dipercayai milik wanita yang hilang dihanyutkan kepala air ketika mendaki Gunung Suku, di Simpang Pulai di sini. - NSTP/ MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Anggota bomba mengusung anggota tubuh badan dipercayai milik wanita yang hilang dihanyutkan kepala air ketika mendaki Gunung Suku, di Simpang Pulai di sini. - NSTP/ MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Aktiviti mendaki Gunung Suku dihenti sementara

IPOH: Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan menutup sementara kebenaran mendaki Gunung Suku dekat Hutan Simpan Bukit Kinta di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini.

Pengarahnya Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, ia berikutan keadaan agak berbahaya pada masa ini susulan hujan lebat sehingga menyebabkan kejadian kepala air berlaku di kawasan berkenaan semalam.

"Hasil semakan juga mendapati tiada sebarang lesen pembalakan dikeluarkan di sekitar kawasan gunung berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi semalam, dua wanita dikenali See Su Yen, 32 dan Ng Yee Chew, 46, dihanyutkan kepala air semasa mendaki gunung berkenaan.

Dalam kejadian itu, sekumpulan 29 pendaki gunung mendengar bunyi air dan tanah runtuh dari atas gunung, lalu mengambil keputusan berpatah balik.

Namun, semasa dalam perjalanan turun kepala air menimpa kumpulan pendaki terbabit dan dua pendaki wanita itu yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai dihanyutkan arus deras.

Dalam pada itu, Mohamed Zin berkata, semua 29 pendaki itu mempunyai permit memasuki hutan simpan kekal yang sah.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini menemukan anggota tubuh manusia dipercayai milik seorang daripada dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air semasa mendaki gunung terbabit.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhammad Shahrizal Aris berkata, anggota badan mangsa ditemukan di bawah timbunan kayu jam 10.20 pagi.

Beliau berkata, anggota badan itu ditemukan di lokasi berbeza daripada lokasi penemuan sebelah kaki mangsa yang dijumpai petang semalam.

"Anggota badan itu ditemukan di kawasan bawah, manakala kaki dijumpai di kawasan air terjun iaitu di kawasan atas," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X