Ahad, 15 Mei 2022 | 5:37pm
Anggota penyelamat memulakan SAR mencari dua wanita hilang di Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat Simpang Pulai. - Foto Bomba
Anggota penyelamat memulakan SAR mencari dua wanita hilang di Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat Simpang Pulai. - Foto Bomba

Dua wanita dihanyut kepala air di Gunung Suku

IPOH: Dua wanita hilang dipercayai dihanyutkan kepala air ketika aktiviti pendakian Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat Simpang Pulai bersama 27 individu lain, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa dikenali See Su Yen, 30, dan Ng Yee Chew, 46.

Bomba menerima panggilan kejadian jam 6.55 pagi dengan mangsa bersama ahli kumpulannya dipercayai meredah hutan untuk menghala ke puncak gunung.

Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai digerakkan ke lokasi, namun mengambil masa dua ke tiga jam untuk tiba disebabkan struktur muka bumi.

"Kumpulan 27 pendaki berada di kaki gunung dengan selamat (ketika anggota tiba). Pasukan penyelamat kemudian bergerak ke lokasi dua mangsa dipercayai hilang untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR)," katanya dalam kenyataan petang ini.

Jurucakap itu memaklumkan radius pencarian mangsa kira-kira lima kilometer dari lokasi akhir, dengan pasukan penyelamat menyusuri laluan air untuk menjejaki mereka.

Berita Harian X