Sabtu, 14 Mei 2022 | 7:53pm
Anggota tentera mengawal 49 PATI warga Myanmar yang cuba membolosi sempadan Malaysia-Thailand di sini, pagi tadi. - FOTO IHSAN ATM
Anggota tentera mengawal 49 PATI warga Myanmar yang cuba membolosi sempadan Malaysia-Thailand di sini, pagi tadi. - FOTO IHSAN ATM

49 PATI bolos sempadan melalui ladang getah dicekup

BUKIT KAYU HITAM: Sekumpulan 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan ketika cuba merentasi sempadan Malaysia-Thailand di kawasan ladang getah, di sini, pagi tadi.

Semua PATI termasuk 12 wanita berusia antara 15 hingga 48 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 pagi di sektor Op Benteng di bawah kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan, kehadiran kumpulan PATI itu dikesan Tim Serang dan Tangkap (SERKAP) dalam keadaan mencurigakan ketika berjalan kaki merentasi sempadan negara.

"Hasil pemeriksaan mendapati mereka adalah warga Myanmar dan masing-masing tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

"Anggota bertugas kemudian menahan semua, sebelum diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut," katanya.

Selain tangkapan, katanya pihaknya turut merampas 37 telefon bimbit, wang tunai dalam mata wang Malaysia, Thailand dan Myanmar serta 2 beg pakaian dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM15,878.

Berita Harian X