Rabu, 11 Mei 2022 | 9:48pm
Penyambungan wayar secara haram bagi mencuri elektrik untuk perlombongan bitcoin di sebuah premis di Teluk Intan. - Foto POLIS
Penyambungan wayar secara haram bagi mencuri elektrik untuk perlombongan bitcoin di sebuah premis di Teluk Intan. - Foto POLIS

Gangguan elektrik bongkar perlombongan bitcoin

TELUK INTAN: Gangguan bekalan elektrik dihadapi penduduk sejak dua bulan lalu membawa kepada serbuan ke rumah kedai disyaki melakukan kegiatan mencuri elektrik untuk perlombongan mata wang digital bitcoin secara haram, di sini, awal pagi tadi.

Dalam serbuan 1.30 pagi itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak merampas peralatan kegiatan itu yang bernilai RM140,000.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat penduduk yang tinggal sekitar kawasan premis selepas sering mengalami masalah gangguan bekalan elektrik.

Susulan aduan itu, beliau berkata, polis dengan bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan berhasil membuka pintu premis.

"Kita mendapati ada beberapa mesin melombong bitcoin sedang berfungsi dan disusun di rak dalam premis. Juruteknik TNB melakukan pemeriksaan lanjut ke atas penyambungan wayar yang dilakukan secara haram dan mengesahkan bahawa ada kecurian arus elektrik.

"Pihak TNB kemudiannya melakukan pemotongan bekalan elektrik di premis berkenaan dan ketika serbuan tiada individu di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Ahmad Adnan berkata, premis terbabit dipercayai sudah beroperasi sejak dua bulan lalu dan sejak itu penduduk berhampiran mendakwa berdepan masalah gangguan bekalan elektrik.

"Polis merampas 72 unit mesin bitcoin bersama bekalan kuasa, 72 unit kabel internet dan 72 unit kabel bekalan kuasa bagi tujuan melombong bitcoin secara haram dengan mencuri elektrik. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 (3) (e) Akta Bekalan Elektrik 1990," katanya.

Berita Harian X