Rabu, 11 Mei 2022 | 6:43pm
Maritim Malaysia menahan bot nelayan dekat Kemaman. - Foto hiasan
Maritim Malaysia menahan bot nelayan dekat Kemaman. - Foto hiasan

Maritim Malaysia tahan dua bot

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot nelayan tempatan dan 10 nelayan Vietnam kira-kira 26 batu nautika timur laut dari Kuala Kemaman, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abdul Rashid, berkata kedua-dua bot itu ditahan dalam rondaan bersepadu Op Pagar Laut, Op Iman dan OP Naga Barat pada 1.50 tengah hari dan 2.35 petang, Selasa.

Beliau berkata, semua 10 nelayan Vietnam termasuk tekong yang ditahan berumur 25 hingga 47 tahun.

"Semasa diperiksa, tiga kru bersembunyi di bilik enjin, disyaki tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah.

"Bot tersebut juga didapati tidak mempunyai alat pengesan vesel penangkapan ikan iaitu Mobile Transceiver Unit Jabatan Perikanan Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rashidilhadi berkata, selain bot, turut dirampas ialah diesel kira-kira 4,000 liter dan peralatan menangkap ikan.

"Semua bot serta hasil rampasan bersama tekong dan kru dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk proses saringan COVID-19, sebelum kes diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, katanya, Maritim Malaysia akan terus mempertingkat kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim, bagi memastikan kepatuhan undang-undang dan keselamatan pengguna maritim di perairan negara sentiasa terjaga. – BERNAMA

Beberapa awak-awak tidak mempunyai permit kerja. - Foto hiasan Maritim Malaysia
Beberapa awak-awak tidak mempunyai permit kerja. - Foto hiasan Maritim Malaysia

Berita Harian X