Rabu, 11 Mei 2022 | 2:29pm
Pegawai KPDNHEP memeriksa stok tepung gandum dan minyak masak yang dirampas di sebuah kedai runcit di Kampung Bukit Merah Dalam, Tanah Merah. - FOTO IHSAN KPDNHEP
Pegawai KPDNHEP memeriksa stok tepung gandum dan minyak masak yang dirampas di sebuah kedai runcit di Kampung Bukit Merah Dalam, Tanah Merah. - FOTO IHSAN KPDNHEP

Sorok stok minyak masak, tepung gandum bawah garaj

TANAH MERAH: Pekerja sebuah kedai runcit di Kampung Bukit Merah Dalam, di sini, menggunakan alasan kononnya "tidak tahu" sebagai helah selepas tindakan premis itu menyorok stok minyak masak dan tepung gandum dikesan pihak berkuasa.

Sejumlah 408 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dan 840kg tepung gandum serba guna dirampas di premis itu dalam serbuan jam 10 pagi semalam.

Serbuan itu membabitkan sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Aswadi Jaafar berkata, semua barangan kawalan bernilai RM3,120 itu ditemui di bawah garaj dalam kawasan sebuah rumah di lot terbabit.

"Sitaan dibuat kerana pemilik premis gagal mengemukakan sebarang lesen sah mengenai pemilikan barang kawalan seperti mana diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Aswadi berkata, ketika serbuan, pemiliknya tiada di premis dan menurut pekerjanya, mereka tidak tahu perlu mempunyai lesen untuk pemilikan barangan kawalan dan bersubsidi.

Jelasnya lagi, kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu dan RM2 juta bagi perbadanan.

"Kami tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melanggar undang-undang terutamanya membabitkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi," katanya.

Berita Harian X