Selasa, 10 Mei 2022 | 8:52pm

Terbabas, masuk laluan bertentangan punca suami isteri maut

IPOH: Nahas yang mengorbankan pasangan suami isteri di Kilometer 76 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Titiwangsa, Gerik, malam tadi berpunca daripada kenderaan mereka hilang kawalan ketika melalui selekoh.

Nahas jam 8.15 malam itu mengorbankan pemandu Nissan Latio dikenali sebagai Azmi, 47, dan isterinya Rohani, 47.

Tiga individu yang dikenal pasti cedera dalam nahas itu terdiri remaja lelaki dan perempuan masing-masing berusia 14 dan 18 tahun yang menaiki kereta bersama pasangan berkenaan, selain seorang lelaki berusia 48 tahun yang juga penumpang hadapan pacuan empat roda Mitsubishi Triton.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata siasatan awal mendapati nahas dipercayai berlaku apabila Nissan Latio dinaiki pasangan itu dari Gerik dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Katanya, berlaku pelanggaran antara Nissan Latio dinaiki empat individu yang semuanya berasal dari Kuala Berang, Terengganu dengan Mitsubishi Triton dinaiki tiga individu berasal dari Kedah.

"Akibat rempuhan itu, pasangan suami isteri disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Jeli, Kelantan manakala tiga lagi mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, difahamkan remaja lelaki berusia 14 tahun iaitu penumpang Nissan Latio mengalami cedera parah manakala semua yang menaiki Mitsubishi Triton dilaporkan cedera.

Berita Harian X