Isnin, 9 Mei 2022 | 5:45pm
- Foto hiasan.
- Foto hiasan.

Lelaki ditahan tipu sewa tapak bazar Ramadan, Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan selepas didakwa menipu menawarkan tapak sewa Bazar Ramadan dan Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil, di sini, melalui laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak, berkata, pihaknya menerima enam laporan polis berkaitan penipuan terbabit pada 30 Mac lalu dengan nilai kerugian RM11,300.

Menurutnya, mangsa dijanjikan akan memperoleh tapak dengan bayaran pendahuluan antara RM1,500 sehingga RM2,700.

"Mangsa menyedari ditipu selepas penganjur bazar terbabit mengesahkan program itu tidak diteruskan dan mereka tidak menerima wang pendahuluan dibayar mangsa.

"Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil lbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras Kuala Lumpur menangkap suspek berusia 19 tahun yang juga pemilik akaun Facebook terbabit, Jumaat lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Mahidisham berkata, suspek direman sejak 7 Mei lalu hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihatkan orang ramai yang ditipu berkaitan sewaan tapak terbabit supaya tampil membuat laporan atau menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Cheras, Asisten Superintendan G Janarthanan Nairdi talian 012-5734374.

Berita Harian X