Sabtu, 7 Mei 2022 | 1:24pm
Allahyarham Muhammad Akhimullah Amaran dikenal pasti sebagai pemandu Proton Persona yang rentung selepas kereta terbakar dalam kemalangan dengan sebuah kereta Toyota Vellfire kelmarin. - Foto ihsan Bomba
Allahyarham Muhammad Akhimullah Amaran dikenal pasti sebagai pemandu Proton Persona yang rentung selepas kereta terbakar dalam kemalangan dengan sebuah kereta Toyota Vellfire kelmarin. - Foto ihsan Bomba

Identiti pemandu rentung dikenal pasti

JITRA: Identiti pemandu Proton Persona yang rentung selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dan terbakar di Kilometer 19.4 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran simpang Kampung Nongka, Napoh kelmarin dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, mangsa disahkan sebagai Muhammad Akhimullah Amaran, 30, beralamat di Kangar, Perlis.

Beliau berkata, mangsa bekerja sebagai penjaga stor.

"Siasatan masih dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media semalam melaporkan, dalam kejadian jam 11.40 malam kelmarin, seorang lelaki yang meninggal dunia selepas Proton Persona dipandu terbakar selepas kemalangan di Kilometer 19.4 Lebuhraya Utara Selatan, Napoh di sini, dikatakan sempat meminta tolong.

Bagaimanapun, orang ramai yang berada di situ tidak dapat berbuat apa-apa berikutan api marak dengan cepat.

Kemalangan itu turut membabitkan sebuah Toyota Vellfire yang dinaiki tujuh sekeluarga yang dalam perjalanan dari Perlis ke Banting, Selangor dan kesemua mereka mengalami kecederaan serta dirawat di Hospital Jitra.

Berita Harian X