SEREMBAN: Polis menahan 10 lelaki selepas disyaki bermain mercun seolah-olah 'berperang' dengan menghalakan bahan letupan itu ke arah satu sama lain di kawasan rumah kedai di Jalan BPS 3, Taman Bandar Prima Senawang di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, berkata semua individu berusia 19 hingga 42 itu ditahan di sekitar daerah ini semalam untuk siasatan lanjut selepas tular satu rakaman video yang dimuat naik di laman TikTok.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian yang tular itu berlaku pada Isnin lalu iaitu sekitar waktu tengah malam.
"Polis mengesan satu rakaman video berdurasi 29 saat di satu laman sosial kira-kira jam 9 pagi semalam memaparkan sekumpulan lelaki melakukan gaduh gempar sesama sendiri menggunakan bunga api dan mercun.
"Kejadian berlaku di Jalan BPS 3, Taman Bandar Prima Senawang. Kejadian dikatakan Malaysia versi Brazil dan pihak polis turut merampas sejumlah bunga api," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.
"Siasatan lanjut masih dijalankan. Permohonan reman terhadap semua suspek dibuat hari ini," katanya.