Selasa, 3 Mei 2022 | 4:40pm

Pegawai sumber manusia rugi RM132,900

KUALA LUMPUR: Sambutan Aidilfitri kali ini disambut suram oleh seorang pegawai pengurusan Sumber Manusia (HR) selepas wang simpanannya berjumlah RM132,900 lesap akibat ditipu seorang lelaki menyamar kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM).

Kejadian bermula 18 April lalu, apabila mangsa seorang wanita berusia 47 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mengaku Pegawai Bahagian Pemeriksaan Bekalan Ubatan KKM.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak, berkata mangsa diminta mengesahkan sama ada pernah mengambil ubat-ubatan seperti panadol, ubat tahan sakit, ubat batuk dan ubat selsema secara berlebihan di sebuah Klinik Komuniti.

Bagaimanapun, mangsa menafikan dakwaan 'pegawai' terbabit sebelum panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lelaki lain yang mengaku sebagai seorang pegawai polis.

"Pegawai polis itu kemudiannya memaklumkan rekod mangsa juga terbabit dengan jenayah pengubahan wang haram.

"Mangsa ditakutkan sekiranya tidak mengaku kesalahan berkenaan, waran tangkap akan dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang panik dengan ugutan kemudian membuat pindahan wang sebanyak lima kali ke dalam satu akaun yang sama selepas diarahkan berbuat demikian konon untuk tujuan siasatan.

"Mangsa membuat pemindahan wang bermula dari 22 hingga 26 April lalu berjumlah keseluruhan RM132,900 dan diminta untuk menunggu keputusan siasatan terbabit.

"Pada 30 April lalu, mangsa menerima panggilan telefon dan diminta untuk membuat bayaran tambahan. Bagaimanapun, mangsa yang merasa tertipu tampil membuat laporan polis pada hari sama," katanya.

Katanya, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket Macau Scam, Mohd Mahidisham menasihatkan orang ramai supaya tidak panik jika menerima panggilan daripada pihak berkuasa.

Sebaliknya, menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 0585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan jika dihubungi oleh pihak yang mencurigakan.

"Ingat, agensi penguat kuasa tidak dapat memindahkan talian telefon ke agensi lain dalam masa yang sama.

"Polis tidak akan menghubungi sesiapa dan menggertak untuk membuat tangkapan terhadap seseorang," katanya.

Berita Harian X