Ahad, 1 Mei 2022 | 10:43am
Keadaan di lokasi kemalangan yang mengorbankan nyawa pembonceng motosikal di Kilometer 13 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan. - Foto ihsan pembaca
Keadaan di lokasi kemalangan yang mengorbankan nyawa pembonceng motosikal di Kilometer 13 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan. - Foto ihsan pembaca

Ajal dalam perjalanan pulang ke rumah

MARANG: Peniaga keropok yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut dalam kemalangan di Kilometer 13 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam, mangsa, Faridah Ali ,48, yang juga pembonceng motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada bahagian kepala.

Dua lagi mangsa iaitu anak perempuan mangsa, Shafiqa Aliea Abd Jalil, 20, dan pejalan kaki warga Myanmar masing-masing cedera di kepala.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama anaknya dalam perjalanan ke rumah mereka selepas ke kedai.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi, Superintendan Mohd Zain Mat Dris, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika motosikal ditunggang dua beranak itu dalam perjalanan dari arah Kampung Bukit Gasing menghala ke Kuala Terengganu.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, seorang pejalan kaki tiba-tiba melintas jalan dan jarak yang dekat menyebabkan anak perempuan mangsa yang menunggang motosikal itu tidak sempat mengelak lalu terlanggar lelaki terbabit.

"Akibat daripada perlanggaran itu, penunggang motosikal terseret ke hadapan di lorong sebelah kanan manakala mangsa tercampak ke sebelah kiri jalan.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

"Dua lagi mangsa turut dibawa ke HSNZ Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berita Harian X