Jumaat, 29 April 2022 | 6:15pm
Keadaan kereta dinaiki tiga beranak selepas merempuh pokok di pembahagi jalan dalam kemalangan di Kilometer 23.5 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di sini, tengah hari tadi. - Foto ihsan JBPM Perak
Keadaan kereta dinaiki tiga beranak selepas merempuh pokok di pembahagi jalan dalam kemalangan di Kilometer 23.5 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di sini, tengah hari tadi. - Foto ihsan JBPM Perak

Wanita maut, anak cedera kereta terbabas langgar pokok

SUNGAI SIPUT: Seorang wanita maut, manakala dua anaknya cedera selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar pokok dalam kemalangan di Kilometer 23.5 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata mangsa yang maut berusia 44 tahun, manakala dua anak perempuannya berusia 13 dan 10 tahun.

Beliau berkata, mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua anaknya mengalami kecederaan di bahagian muka dan kaki.

"Siasatan awal mendapati, kereta jenis Hyundai dipandu mangsa dari arah Sungai Siput ke Ipoh dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pokok di pembahagi jalan.

"Pihak polis terpaksa meminta bantuan bomba untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.48 tengah hari, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas, sebelum diserahkan kepada pihak polis," katanya.

Berita Harian X