X
Jumaat, 29 April 2022 | 12:53pm

Polis edar foto 61 tahanan Rohingya masih lolos

BUKIT KAYU HITAM: Polis akan mengedarkan foto 61 tahanan etnik Rohingya yang menjadi buruan selepas melarikan diri dari Depot Tahanan Sementara Imigresen Relau di Sungai Bakap, pada minggu lalu.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihaknya sedang menyiapkan foto semua tahanan berkenaan sebelum salinannya diedar kepada orang ramai dan media.

Katanya, polis percaya kumpulan tahanan terbabit masih berada di negara ini berdasarkan maklumat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang memaklumkan mereka dikesan berada di Selayang, Selangor.

"Foto mereka akan dikeluarkan kepada pihak media supaya orang ramai tahu wajah pelarian yang lolos dari pusat tahanan.

"Foto ini penting bagi memudahkan orang ramai dan agensi keselamatan lain yang memburu mereka supaya dapat mudah mengecam wajah tahanan terbabit.

"Ini kerana nama pelarian etnik Rohingya boleh berubah-ubah....hari ini nama lain, esok pula tukar nama lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Markas Taktikal (MARTAK) Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pos kawalan sempadan Malaysia-Thailand, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 20 April lalu, 528 tahanan di Depot Imigresen Sementara Relau, merusuh dan melarikan diri.

Enam daripada mereka maut dalam kemalangan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Jawi, Pulau Pinang.

Setakat ini, 467 tahanan ditahan semula pihak berkuasa dalam operasi sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perak dengan usaha mengesan baki 61 lagi giat dilakukan.

Sementara itu, pada lawatan sama, Wan Hassan turut menyampaikan sumbangan kepada anggota Batalion 2 PGA Kulim yang akan bertugas mengawal sempadan negara ketika Aidilfitri minggu hadapan.

Wan Hassan (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kuih raya kepada anggota PGA Batalion 2 Kulim yang bertugas di sempadan Malaysia- Thailand. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Wan Hassan (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kuih raya kepada anggota PGA Batalion 2 Kulim yang bertugas di sempadan Malaysia- Thailand. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Berita Harian X