Ahad, 24 April 2022 | 5:41pm
 Antara kru dan tekong warga Vietnam yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kelantan dengan rampasan bernilai RM2juta - Foto NSTP/Ihsan Maritim Malaysia
Antara kru dan tekong warga Vietnam yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kelantan dengan rampasan bernilai RM2juta - Foto NSTP/Ihsan Maritim Malaysia

12 nelayan asing ditahan ketika asyik tangkap ikan

PASIR PUTEH: 12 nelayan asing termasuk yang dalam keadaan mabuk ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika asyik menangkap ikan di perairan negara, Jumaat lalu.

Nelayan warga Vietnam yang berusia 30 hingga 62 tahun termasuk dua tekong itu ditahan pada jarak 46.6 dan 45.3 batu nautika daripada Muara Tok Bali.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, dua bot itu ditahan bersama peralatan menangkap ikan, 500 kilogram ikan pelbagai jenis dan 1,100 liter diesel dengan nilai rampasan sebanyak RM2 juta.

Katanya, terdahulu pihaknya mengesan kedua-dua bot itu yang dilihat bergerak seiringan dan disyaki menjalankan aktiviti tunda gading pada jarak 2.3 batu nautika daripada bot penguatkuasa pada jam 12.30 tengah malam dan 1.10 pagi.

"Mereka cuba bertindak melarikan diri dan ketika cubaan menahan bot pertama, anggota menggeledah mendapati ada kru mabuk dan keadaan jadi sedikit sukar dikawal.

"Namun tiada kru yang bertindak ganas dan kita mengambil masa 30 minit untuk menahan bot berkenaan," katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, 19 minit kemudian bot kedua pula ditahan selepas gagal melarikan diri.

Katanya, bot pertama membawa 10 kru dan seorang tekong manakala bot kedua dinaiki tekong bersama seorang kru.

"Kedua-dua tekong gagal mempamerkan dokumen sah untuk berada dan menangkap ikan di perairan Malaysia manakala kesemua kru tiada pengenalan diri," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 jam untuk menunda kedua-dua bot ke jeti Maritim Negeri Kelantan pada jam 11.05 pagi, Jumaat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Seksyen 16(3) akta sama.

Berita Harian X