Ahad, 24 April 2022 | 1:16pm
Polis memeriksa mayat wanita ditemukan dalam kereta di Jalan Besar FELDA Menggong, Hutan Percha, Alor Gajah, semalam. - Foto ihsan PDRM
Polis memeriksa mayat wanita ditemukan dalam kereta di Jalan Besar FELDA Menggong, Hutan Percha, Alor Gajah, semalam. - Foto ihsan PDRM

Kerani wanita mati dengan kesan kelar pada tangan

ALOR GAJAH: Wanita ditemukan mati dengan empat kesan kelar pada tangan dalam kereta berhampiran pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB), dekat Jalan Besar FELDA Menggong, Hutan Percha, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata mayat wanita berusia 45 tahun itu ditemukan dalam PERODUA Kenari dengan kesan kelar pada tangan kanan.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, orang awam menghubungi Balai Polis Hutan Percha, kira-kira jam 1.30 tengah hari, memberitahu terdapat sebuah kereta diletakkan berhampiran pencawang TNB dan ada wanita di dalamnya.

"Pihak forensik bersama pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah dan ketua polis balai ke lokasi dan siasatan awal menjumpai sebilah parang di dalam kereta dipercayai digunakan oleh si mati. Pemeriksaan lanjut pada badan wanita itu menjumpai empat kesan kelar pada tangan kanan," katanya.

Menurut Arshad, polis turut menjumpai kad pengenalan si mati yang beralamat di Machap Baru dan hasil temubual dengan adik wanita itu, polis dimaklumkan dia bekerja sebagai kerani dan mempunyai masalah kesihatan.

"Mayat dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya menambah kesan kelar pada tangan kanan si mati dipercayai dilakukan sendiri menggunakan parang yang ditemui dalam kereta terbabit.

Berita Harian X