Rabu, 20 April 2022 | 7:50pm

Rugi lebih RM300,000 tertipu janji untung dalam 3 minit

KUALA LUMPUR: Seorang jurujual wanita kerugian RM382,517 akibat terperdaya dengan tawaran syarikat pelaburan mata wang asing yang didakwa menjanjikan keuntungan tiga peratus dalam tempoh tiga minit selepas suatu pelaburan itu dibuat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak, berkata terdahulu mangsa berusia 36 tahun dikatakan melayari satu laman web luar negara pada 29 Mac lalu.

Beliau berkata, mangsa kemudian dikatakan mendapat penerangan mengenai syarikat pelaburan berkenaan yang mendakwa mengusahakan produk pertanian hijau, industri kesihatan hijau dan industri tenaga hijau.

"Pengadu diterangkan berkenaan pakej 'Gold Card' yang memerlukan modal berjumlah AS$150,000 (lebih RM600,000) dan dijanjikan keuntungan tiga peratus daripada jumlah pelaburan yang dibuat, dalam tempoh tiga minit.

"Tertarik dengan tawaran itu, pengadu kemudian membuat pelaburan dan diberikan nama pengguna serta kata laluan untuk mengakses rangkaian pelaburan terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selepas mendengar penerangan itu, Mohd Mahidisham berkata, mangsa dikatakan membuat 27 transaksi berjumlah RM382,517 ke dalam enam akaun berbeza bagi tujuan pelaburan terbabit, bermula 29 Mac lalu hingga kelmarin.

Bagaimanapun, katanya, pengadu berasa tertipu apabila tidak dapat mengeluarkan wang keuntungan dijanjikan, sebaliknya masih diminta untuk membuat transaksi tambahan pelaburan.

Justeru, beliau berkata, pengadu membuat laporan polis, semalam, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Mohd Mahidisham sekali gus menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan mana-mana pelaburan tidak sah, serta menghubungi pihak polis untuk sebarang maklumat jenayah atau aktiviti yang mencurigakan. – BERNAMA

Berita Harian X