Rabu, 20 April 2022 | 12:29pm
ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu, didakwa atas dakwaan penyalahgunaan dadah.
ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu, didakwa atas dakwaan penyalahgunaan dadah.

ADUN Pasir Bedamar didakwa kes salah guna dadah

BUKIT MERTAJAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini atas pertuduhan penyalahgunaan dadah yang didakwa dilakukannya pada Januari lalu.

Tertuduh, Terence Naidu, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Berdasarkan pertuduhan, ADUN dari Perak itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis '3-4 methylenedioxymethamphetamine (MDMA)' yang disenarai sebagai dadah berbahaya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah pada jam 12.13 tengah malam, 14 Januari lalu.

Pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwaan negeri Datuk Khairul Anuar Abdul Halim mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 38B akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang diwakili peguam Ramkarpal Singh dan RSN Rayer, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dari dua tahun.

Semasa prosiding kes, Khairul Anuar memohon mahkamah menetapkan wang jaminan RM5,000 terhadap Naidu, namun Ramkarpal memohon wang jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya memberikan kerjasama sejak hari pertama ditahan polis.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan, ADUN dari Perak ditahan di sebuah kelab malam di Perai dekat sini ketika serbuan polis kira-kira jam 9 malam pada 13 Januari lalu dan ujian air kencing dilakukan mendapati beliau positif dadah.

Dalam serbuan oleh Jabatan Integriti dan pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman itu, keseluruhan 48 individu ditahan dengan 36 berkait dadah, manakala 12 lagi kesalahan jenayah.

Berita Harian X