X
Rabu, 20 April 2022 | 9:09am

700 tahanan depot Imigresen lari

BANDAR BAHARU: Seramai 700 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di Depot Imigresen Sementara Relau di sini, dilaporkan melarikan diri awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, kumpulan PATI antaranya dipercayai warga Bangladesh, Indonesia dan etnik Rohingya dilihat keluar beramai-ramai dari depot terbabit oleh penduduk tempatan.

Difahamkan, semua tahanan itu di bawah seliaan Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang, namun ditempatkan di depot tahanan sementara berkenaan sebelum urusan penghantaran pulang dilakukan.

Depot Imigresen Sementara Relau di sini adalah bekas tapak Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sri Impan, Sungai Bakap, yang ditutup sejak beberapa tahun lalu. - Foto NSTP/M Hifzuddin Ikhsan
Depot Imigresen Sementara Relau di sini adalah bekas tapak Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sri Impan, Sungai Bakap, yang ditutup sejak beberapa tahun lalu. - Foto NSTP/M Hifzuddin Ikhsan

Berikutan itu, operasi menahan semula semua tahanan terpaksa dilakukan Imigresen yang turut mendapat bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu, Kedah dan IPD Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Hingga kini, dimaklumkan lebih separuh tahanan yang lari dapat ditahan semula dengan operasi mengesan PATI yang masih bebas masih dilakukan pihak berkuasa.

Sidang media berhubung kejadian itu dijangka dibuat Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud pagi ini.

Sebahagian PATI yang melarikan diri dari Depot Sementara Imigresen Relau, berjaya ditahan semula pihak polis pagi tadi. - Foto ihsan pembaca
Sebahagian PATI yang melarikan diri dari Depot Sementara Imigresen Relau, berjaya ditahan semula pihak polis pagi tadi. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X