Selasa, 19 April 2022 | 9:02pm
Polis merampas pelbagai jenis mercun di sebuah rumah di Jalan Padang Bola, Parit, semalam. - Foto PDRM
Polis merampas pelbagai jenis mercun di sebuah rumah di Jalan Padang Bola, Parit, semalam. - Foto PDRM

Mercun bernilai RM33,000 dirampas

PARIT: Polis menahan seorang peniaga pasar malam dan merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM33,000 di rumahnya di Jalan Padang Bola, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, lelaki berusia 43 tahun berkenaan ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dan Balai Polis Parit, dalam serbuan pada jam 11.50 malam.

Beliau berkata, pemeriksaan di dapur rumah berkenaan menemukan empat guni plastik berwarna putih bersama lapan kotak berisi pelbagai jenis mercun.

"Pemeriksaan lanjut di ruang tamu rumah pula menemui 13 kotak berwarna coklat di dalamnya mengandungi pelbagai jenis mercun.

"Suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen atau lesen yang sah atas barangan dijumpai itu," katanya di sini, hari ini.

Barudin berkat, suspek dipercayai menjual mercun sebagai pendapatan sampingannya yang dibeli daripada seorang lelaki di Ipoh.

"Dalam tempoh sebulan suspek membuat lebih kurang lima kali pembelian mercun bermula akhir Mac lalu sehingga seminggu sebelum ditangkap, dengan anggaran setiap pembelian RM8,000," katanya.

Barudin berkata, suspek kemudiannya ditahan dan barangan rampasan dibawa ke IPD Perak Tengah untuk siasatan lanjut.

Katanya, permohonan analisa dari Jabatan Kimia akan dibuat untuk mendapatkan laporan mengenai barang kes.

"Suspek direman selama tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1987," katanya.

Berita Harian X